::::SELAMAT DATANG::::WELCOME:::AHLAN WASAHLAN::::
Terima Kasih atas Kunjungan


:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Sunday, January 3, 2010

Komentar: Penggunaan Kalimah Allah

Hari ini hari ketiga dalam tahun baru masihi..Apa erti tahun baru bagi kita?Entah, saya kurang mengerti. Maklum sahaja, saya generasi baru,yang dididik untuk bersesak-sesak di KLCC dan dataran merdeka, menjerit-jerit, mengagungkan percikan bunga api dan tarian orang-orang yang mengelarkan diri mereka 'anak seni'. Hairan. Saya tidak dapat melihat apa-apa dalam 'tradisi' mereka itu. Justeru, saya cuma gembira kerana saya dapat bercuti..Itu sahaja..Sangat berbeza dengan sambutan tahun baru hijri, saya melihat kesyukuran dan pengabdian yang murni. Doa akhir tahun dan awal tahun dibaca, memohon diri sentiasa tertambat pada tiang suci Ad-deen.

Hari ini, tiba-tiba 'hadir' Mingguan Malaysia di rumah saya. Selalu, hanya ada The Star. Saya terpaksa bersetuju dengan ayah saya, walaupun tampak tidak patriotik. Akhbar berbahasa melayu kadang-kadang terlalu banyak menghidangkan isu politik yang tiada berkesudahan. Propaganda yang keterlaluan merencatkan minat membaca. Suka saya sebut, jika saya ingin tahu akan isu politik, saya tidak perlu membayar untuk akhbar itu. Ada ratusan blog (BN dan PR) yang boleh saya baca percuma. Isu utama dalam Mingguan Malaysia sudah tentu isu penggunaan kalimah Allah bagi bukan muslim yang sudah di 'endorse' oleh mahkamah. Menarik sekali, muka hadapan dihias dengan ulasan Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharudin Mat Isa. Menurut akhbar itu, TP Pas itu menyeru supaya semua pihak bersatu hati, tanpa mengira apa jua fahaman politik untuk membantah penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan islam. Kemudian, akhbar itu turut memuatkan 2-3 muka ulasan pemimpin UMNO (Ketua Wanita antaranya), wakil-wakil NGO dan golongan agamawan. Kebanyakkannya ulasan mereka senada dengan ulasan TP PAS. Saya sangat berharap bahawa motif Mingguan Malaysia meletakkan komen TP PAS di muka hadapan, bukanlah kerana politik semata-mata. Saya tidak mahu bersangka buruk bahawa adanya cubaan untuk menampakkan TP PAS sentiasa senada dengan pemimpin UMNO. Satu lagi “headline” yang menarik minat saya ialah ulasan YB Zul (Kulim Bandar Baru) yang sinis meminta YB Khalid Samad berundur dari PAS dek kerana bersetuju dengan keputusan mahkamah itu. Memalukan PAS katanya. Saya tidak mampu untuk bersetuju dengan YB Zul walaupun saya menghormatinya (saya juga menghormati YB Khalid Samad). Janganlah isu sebegini pun dipolitikkan.

Saya sendiri berasa kurang senang dengan implikasi yang bakal timbul daripada keputusan mahkamah ini. Umum mengetahui, di Malaysia Timur (Herald Tribune berpengkalan di Sarawak), umat Islam masih lagi minoriti. Kepelbagaian ethnik dan suku kaum di Sabah dan Sarawak adalah rahmat untuk semua. Dalam hal ini, Allah s.w.t menukilkan;

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa."

Al-Hujurat 13


Pada masa yang sama, kepelbagaian kaum yang ada ini meletakkan tanggungjawab yang besar kepada umat Islam. Pertamanya bagi memastikan asimilasi kepercayaan, amalan dan budaya luar yang bercanggah dengan islam tidak berlaku. Keduanya ialah tanggungjawab untuk menyebarluaskan seruan tauhid kepada kaum yang pelbagai ini. Dan keputusan mahkamah ini telah menyukarkan kedua-dua misi ini. Dalam membendung kemasukan kepercayaan, amalan dan budaya dari luar ini, iman adalah benteng yang paling ampuh. Lalu mari kita lihat kembali, di sekolah, baik sekolah rendah dan sekolah menengah, adakah perkara keimanan ini diberi perhatian?Dengan jadual waktu belajar yang berorientasikan peperiksaan, perkara keimanan ini tertolak ke tepi. Dengan 2-3 jam seminggu subjek Pendidikan Islam diajar di sekolah, anak-anak generasi muda begitu tandus dengan ilmu agama. Hari ini, guru-guru agama di sekolah berhadapan dengan tugas untuk menerangkan beza Allah mengikut pandang sisi Islam dan Allah yang digunapakai oleh kaum lain. Masa ada 2-3 jam seminggu. Mana lagi penting, membincangkan "past year exam paper" Pendidikan Islam atau menerangkan perkara ini?Persoalan ini begitu subjektif. Kadang-kadang guru-guru ditekan dengan kehendak pengurusan atasan yang mahu keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kalau boleh biar menang, mengatasi sekolah-sekolah lain. Itu belum lagi disebut di universiti, yang"Isla
mic Studies" sekadar diwajibkan 2 kali sepanjang pengajian (itu pun 2 'credit hour'). Maka generasi berhadapan dengan cabaran keimanan yang hebat. Dalam keadaan mereka kurang mengenali Allah s.w.t, kini wujud pula "Allah" dalam agama Kristian. Mungkin selepas ini agama Buddha dan Hindu juga mahu ada "Allah".

Kemudian, pendakwah Islam juga punya cabaran untuk menyebarluaskan seruan tauhid.

"Sama sahaja Islam dan Kristian. Dua-dua tuhan Allah. Lebih baik pilih yang benarkan saya minum arak, tak perlu sembahyang hari-hari, tak banyak peraturan"

Tidak pelik jika suatu hari nanti, Orang Asli di pedalaman Malaysia Timur menjadi keliru seperti dialog diatas.

Maka, oleh sebab itu, sementara Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan akan keputusan mahkamah itu, tiap dari kita punya peranan. Jika rayuan KDN tidak berjaya, maka perkara berikut mesti segera dilakukan;

  • Menambahkan waktu belajar bagi subjek pendidikan agama di sekolah, kolej dan universiti. (KP,MOHE)
  • Memperbanyak program-program keagamaan di kawasan parlimen dan dun (MP dan ADUN)
  • Menukarkan program-program realiti tv yang sia-sia dengan program-program ilmiah yang mampu menarik minat generasi muda (RTM, TV3)
  • Memperbanyak penulisan-penulisan cerpen, artikel islamik yang santai (PENA, Blogger)
  • Menggalakkan penerbitan drama (ala-ala Nur Kasih?), karya kartun, dan lagu-lagu yang menyampaikan mesej yang murni kepada rakyat.
  • Skim insentif khas kepada pendakwah-pendakwah yang sanggup turun ke kawasan pedalaman, menyebarluaskan dakwah kepada masyarakat Orang Asli.
  • etc..etc..

Pokoknya disini, ulasan sahaja tidak cukup untuk kita label diri kita sebagai pejuang agama...

Siapa sanggup buat semua ini???