::::SELAMAT DATANG::::WELCOME:::AHLAN WASAHLAN::::
Terima Kasih atas Kunjungan


:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Sunday, January 3, 2010

Komentar: Penggunaan Kalimah Allah

Hari ini hari ketiga dalam tahun baru masihi..Apa erti tahun baru bagi kita?Entah, saya kurang mengerti. Maklum sahaja, saya generasi baru,yang dididik untuk bersesak-sesak di KLCC dan dataran merdeka, menjerit-jerit, mengagungkan percikan bunga api dan tarian orang-orang yang mengelarkan diri mereka 'anak seni'. Hairan. Saya tidak dapat melihat apa-apa dalam 'tradisi' mereka itu. Justeru, saya cuma gembira kerana saya dapat bercuti..Itu sahaja..Sangat berbeza dengan sambutan tahun baru hijri, saya melihat kesyukuran dan pengabdian yang murni. Doa akhir tahun dan awal tahun dibaca, memohon diri sentiasa tertambat pada tiang suci Ad-deen.

Hari ini, tiba-tiba 'hadir' Mingguan Malaysia di rumah saya. Selalu, hanya ada The Star. Saya terpaksa bersetuju dengan ayah saya, walaupun tampak tidak patriotik. Akhbar berbahasa melayu kadang-kadang terlalu banyak menghidangkan isu politik yang tiada berkesudahan. Propaganda yang keterlaluan merencatkan minat membaca. Suka saya sebut, jika saya ingin tahu akan isu politik, saya tidak perlu membayar untuk akhbar itu. Ada ratusan blog (BN dan PR) yang boleh saya baca percuma. Isu utama dalam Mingguan Malaysia sudah tentu isu penggunaan kalimah Allah bagi bukan muslim yang sudah di 'endorse' oleh mahkamah. Menarik sekali, muka hadapan dihias dengan ulasan Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharudin Mat Isa. Menurut akhbar itu, TP Pas itu menyeru supaya semua pihak bersatu hati, tanpa mengira apa jua fahaman politik untuk membantah penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan islam. Kemudian, akhbar itu turut memuatkan 2-3 muka ulasan pemimpin UMNO (Ketua Wanita antaranya), wakil-wakil NGO dan golongan agamawan. Kebanyakkannya ulasan mereka senada dengan ulasan TP PAS. Saya sangat berharap bahawa motif Mingguan Malaysia meletakkan komen TP PAS di muka hadapan, bukanlah kerana politik semata-mata. Saya tidak mahu bersangka buruk bahawa adanya cubaan untuk menampakkan TP PAS sentiasa senada dengan pemimpin UMNO. Satu lagi “headline” yang menarik minat saya ialah ulasan YB Zul (Kulim Bandar Baru) yang sinis meminta YB Khalid Samad berundur dari PAS dek kerana bersetuju dengan keputusan mahkamah itu. Memalukan PAS katanya. Saya tidak mampu untuk bersetuju dengan YB Zul walaupun saya menghormatinya (saya juga menghormati YB Khalid Samad). Janganlah isu sebegini pun dipolitikkan.

Saya sendiri berasa kurang senang dengan implikasi yang bakal timbul daripada keputusan mahkamah ini. Umum mengetahui, di Malaysia Timur (Herald Tribune berpengkalan di Sarawak), umat Islam masih lagi minoriti. Kepelbagaian ethnik dan suku kaum di Sabah dan Sarawak adalah rahmat untuk semua. Dalam hal ini, Allah s.w.t menukilkan;

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa."

Al-Hujurat 13


Pada masa yang sama, kepelbagaian kaum yang ada ini meletakkan tanggungjawab yang besar kepada umat Islam. Pertamanya bagi memastikan asimilasi kepercayaan, amalan dan budaya luar yang bercanggah dengan islam tidak berlaku. Keduanya ialah tanggungjawab untuk menyebarluaskan seruan tauhid kepada kaum yang pelbagai ini. Dan keputusan mahkamah ini telah menyukarkan kedua-dua misi ini. Dalam membendung kemasukan kepercayaan, amalan dan budaya dari luar ini, iman adalah benteng yang paling ampuh. Lalu mari kita lihat kembali, di sekolah, baik sekolah rendah dan sekolah menengah, adakah perkara keimanan ini diberi perhatian?Dengan jadual waktu belajar yang berorientasikan peperiksaan, perkara keimanan ini tertolak ke tepi. Dengan 2-3 jam seminggu subjek Pendidikan Islam diajar di sekolah, anak-anak generasi muda begitu tandus dengan ilmu agama. Hari ini, guru-guru agama di sekolah berhadapan dengan tugas untuk menerangkan beza Allah mengikut pandang sisi Islam dan Allah yang digunapakai oleh kaum lain. Masa ada 2-3 jam seminggu. Mana lagi penting, membincangkan "past year exam paper" Pendidikan Islam atau menerangkan perkara ini?Persoalan ini begitu subjektif. Kadang-kadang guru-guru ditekan dengan kehendak pengurusan atasan yang mahu keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kalau boleh biar menang, mengatasi sekolah-sekolah lain. Itu belum lagi disebut di universiti, yang"Isla
mic Studies" sekadar diwajibkan 2 kali sepanjang pengajian (itu pun 2 'credit hour'). Maka generasi berhadapan dengan cabaran keimanan yang hebat. Dalam keadaan mereka kurang mengenali Allah s.w.t, kini wujud pula "Allah" dalam agama Kristian. Mungkin selepas ini agama Buddha dan Hindu juga mahu ada "Allah".

Kemudian, pendakwah Islam juga punya cabaran untuk menyebarluaskan seruan tauhid.

"Sama sahaja Islam dan Kristian. Dua-dua tuhan Allah. Lebih baik pilih yang benarkan saya minum arak, tak perlu sembahyang hari-hari, tak banyak peraturan"

Tidak pelik jika suatu hari nanti, Orang Asli di pedalaman Malaysia Timur menjadi keliru seperti dialog diatas.

Maka, oleh sebab itu, sementara Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan akan keputusan mahkamah itu, tiap dari kita punya peranan. Jika rayuan KDN tidak berjaya, maka perkara berikut mesti segera dilakukan;

  • Menambahkan waktu belajar bagi subjek pendidikan agama di sekolah, kolej dan universiti. (KP,MOHE)
  • Memperbanyak program-program keagamaan di kawasan parlimen dan dun (MP dan ADUN)
  • Menukarkan program-program realiti tv yang sia-sia dengan program-program ilmiah yang mampu menarik minat generasi muda (RTM, TV3)
  • Memperbanyak penulisan-penulisan cerpen, artikel islamik yang santai (PENA, Blogger)
  • Menggalakkan penerbitan drama (ala-ala Nur Kasih?), karya kartun, dan lagu-lagu yang menyampaikan mesej yang murni kepada rakyat.
  • Skim insentif khas kepada pendakwah-pendakwah yang sanggup turun ke kawasan pedalaman, menyebarluaskan dakwah kepada masyarakat Orang Asli.
  • etc..etc..

Pokoknya disini, ulasan sahaja tidak cukup untuk kita label diri kita sebagai pejuang agama...

Siapa sanggup buat semua ini???

Thursday, December 24, 2009

"CUTI"

23 Disember 2009

2-3 hari ini, saya begitu kelam kabut, menguruskan keluarga. Ketika ibu-bapa berada di negeri lain, 2 orang ahli keluarga disahkan dijangkiti denggi. Kelam kabut saya berulang alik ke hospital, menghantar dan ambil adik yang belajar di kolej, menguruskan makan minum ahli keluarga yang lain. Cuti yang kebiasaanya digunakan untuk bersantai menjadi 'luar biasa'. Semua itu mampu diuruskan kecuali satu...anak buah yang baru 2 tahun itu...maklum sahaja papa dan mama nya tak bermaya diuji gigitan makhluk Allah, seekor nyamuk aedes, dia pun sama tak bermaya. Demam setiap malam. Menjelang pagi, demamnya kebah. Semalam seakan ada ruang di lengan kirinya. Denggi juga kah? Entah, susah betul hati memikirkannya..Mujur ayah ibu saya akan kembali ke rumah esok hari..Permudahkanlah...

Monday, December 21, 2009

Seuntai kenangan lalu...01...

Tika santai hari ini,saya mencari-cari topik untuk dibincangkan di blog ini. Banyak sebenarnya. Tak terjengah dek kudrat yang secebis ini. Dahulu di kampus juga begitu...sibuk sekali...banyak perkara yang datang dan pergi..Sempat-sempat saya ulas, diskusi dengan teman-teman...Terimbau kenangan dahulu...



"Pergerakan siswa kampus tak fokus pada perkara-perkara yang bersifat makro..kamu banyak berlegar pada isu-isu lama..hedonisme, politik kampus, hubungan siswa dan siswi, semua tu perkara lama dan mikro. Bagaimana dengan isu global warming, pemerkasaan bahasa melayu, sistem akademik barat yang songsang? Di mana kamu?" seorang teman yang rajin membaca menduga saya..




Begitulah kampus..sarat dengan ideologi-ideologi..Hati kecil saya terdetik..


"Bagusnya kalau ramai yang begitu perihatin sebegini...tapi sayang, bunyinya terlalu kasar, merendahkan insan lain"

Berdiam diri tidak bermakna mencuaikan diri akan sesuatu. Hakikatnya, kerja buat manusia lebih banyak dari masa yang ada. Kalau tak dapat buat semua, usah tinggal semua perkara. Memperjuangkan agama dan ummah tidak cukup dengan kata-kata. Insan al-mukhlisin menterjemahkan kata-katanya dengan amal. Bukankanh baik jika kita sama-sama berperanan. Jika anda pandai dalam bahasa, maka bahasa adalah medan anda. Jika anda punya karisma untuk memimpin pelajar, maka disitulah tempat anda.

Barangkali itulah bezanya 'Jiilul Quran Al-Azim' dan ummah hari ini. Sahabat-sahabat Ar-Rasul s.a.w dahulu berlumba-lumba mencari ruang UNTUK DIRI mereka berbakti. Terkadang datang sahabat yang tiada upaya, miskin harta kepada nabi, mengadu nasib mereka yang tidak mampu bersedeqah. Mereka tahu, Ar-Rasul pasti ada jawapan bagi keluhan mereka. Tetapi manusia yang kita panggil pejuang pada hari ini, berlumba-lumba mencari ruang UNTUK ORANG LAIN berbakti.

''Kerja ini, kamu kena buat''
'' Kenapa kamu tak buat begini?...kenapa kamu buat begitu?"
"Si polan itu jadi pemimpin, tapi saya lebih banyak berbakti"

Barangkali dalam menempuh onak berduri, kita terlupa..tiap amal Allah hakim nya, bukan manusia....Benar sekali kata Allah..."Fastabiqul Khairat''...



“Bertolong-tolonglah kamu kepada perkara kebaikan dan janganlah kamu bertolong-tolng kepada perkara kejahatan”. (Surah al-Maidah ;2)



Dan hari ini saya menyahu seruan sahabat tadi..saya akan menulis tentang kegagalan climate talk di Copenhagen


....andai diizin Maha Kuasa....insyaAllah..

Saturday, December 19, 2009

"First Post = )"

Pagi ini begitu indah sekali..Entah dari mana datang kekuatan untuk menulis blog..Tika rakan-rakan saya sudah jauh ke depan dalam menulis, saya masih ragu-ragu untuk menulis. Mampukah untuk menulis?Tengok lah macam mana,,,Mungkinkah blog ini tiada pengunjung nanti?Mungkin juga...Atau..adakah yang terluka dek kerana tulisan saya nanti?...moga-moga tiada yang begitu berkecil hati...Segala persoalan ini dahulunya menahan saya dari menulis...Walau begitu banyak perkara yang ingin diperkatakan..Kini saya sedar..paling penting dalam penulisan ialah objektif dan adab. Saya punya seorang teman yang blog nya sentiasa 'updated'. Macam-macam ditulisnya. Politik, persahabatan, isu semasa, sukan..sebut sahaja..semua ada...Kadang-kadang tulisannya mengundang kontroversi, lalu tercetuslah perang dingin..Saya tidak ingin kontroversi walaupun ada orang suka dengan kontroversi. Kontroversi membina 'popularity' blog. Tapi 'popularity' bukan objektif saya. Saya cuma mahu berkongsi. Perbezaan pendapat merupakan teman baik bagi penulis yang ikhlas. Apatah lagi daei, yang mahu mengajak manusia dekat pada Tuhan. Hari ini, perbezaan pendapat suatu perkara yang lumrah. Dahulu perbezaan pendapat selesai segera. Ar-Rasul s.a.w jadi pemutus segalanya. Kata-katanya wahyu dari Allah. Perbuatannya wahyu dari Allah. Diamnya pula tanda redha, wahyu dari Allah.

“Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.” (an-Najm: ayat 3-4)

Apa yang ada pada saya?Saya tiada apa-apa. Cuma akhir-akhir ini saya terpanggil untuk mengulas beberapa perkara. Saya gembira jika ada yang sependapat dengan saya, dan saya juga tidak kecewa jika ada yang tidak setuju.
Pokoknya adab. Dunia ini sementara, dan saya tidak mahu hidup saya dihabiskan dengan permusuhan. Allah s.w.t benci pada permusuhan, Nabi s.a.w benci pada permusuhan..Maka saya juga memusuhi permusuhan..Anda juga begitu rasanya...maka selamat lah kita dalam perliharaanNYA....




“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” [al-Nisaa' 4: 114]